Monday, February 28, 2011

Bertawassul dengan Hak Para Nabi dan Orang Soleh

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 1 March 2011



Disebut di dalam manaqib (biografi) Fatimah binti Asad, bonda Sayyidina Ali ibn Abu Tolib RA, bahawa setelah beliau wafat, Rasulullah SAW sendiri menggali lubang lahadnya dan mengeluarkan tanahnya dengan tangannya. Apabila telah selesai, Rasulullah SAW masuk ke dalam lubang tersebut dan berbaring di dalamnya. Kemudian Rasulullah SAW berdoa:

“Allah Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Dia adalah Maha Hidup dan tidak akan mati. Ampunilah bondaku (bonda saudaraku), Fatimah binti Asad. Ajarilah dia hujjah (jawapan pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir), luaskanlah untuknya tempat masuknya (kuburnya), dengan kemuliaan nabiMu dan para Nabi sebelumku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dari segala yang mengasihani.” Lalu Nabi SAW bertakbir sebanyak empat kali dan memasukkan jenazah Fatimah ke dalam lahad bersama al ‘Abbas RA dan Abu Bakar al Siddiq RA.(Hadith riwayat al-Tabrani di dalam al-Kabir dan al-Ausot. Demikianlah seperti yang disebut di dalam Majma’ al Zawaid Jld 9, H: 257)

Artikel Penuh

Monday, February 14, 2011

Maulidurrasul 1432H


Terlampau Memuji Rasulullah SAW?

Terlampau Memuji Rasulullah SAW?
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 15 February 2011

Sempena menyambut Mawlid al-Rasul SAW, kita tangguhkan sejenak siri perbahasan kita tentang tawassul dan memilih untuk memetik satu tajuk lain iaitu batas pujian terhadap Rasulullah SAW. Ini adalah kerana dalam keghairahan majoriti umat Islam memuji dan menjunjung Rasulullah SAW dalam menyambut Mawlid Baginda SAW, terdapat juga suara-suara yang menimbulkan salah-faham dengan mendakwa bahawa puji-pujian terhadap Rasulullah SAW adalah suatu yang melampau dan terpesong daripada ajaran Islam. Antara sandaran utama golongan ini ialah sabda Rasulullah S.A.W: “Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam.”

Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji Baginda S.A.W. Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik. Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bid’ah dalam perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW.

Artikel Penuh

Monday, February 7, 2011

Kekeliruan Yang Dipasarkan

Utusan Malaysia, 8 Februari 2011
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

Kita sentiasa menegaskan bahawa antara cabaran utama umat Islam di zaman ini adalah untuk memperbetulkan kefahaman agama mereka. Fikrah-fikrah yang mengelirukan boleh muncul di mana-mana sahaja. Para penerbit buku agama misalnya, ada yang bersifat terlalu komersial sehingga tidak berhati-hati memilih dan menapis bahan-bahan yang hendak dicetak dan disebarkan dalam pasaran. Baru semalam kami terjumpa di rak agama sebuah kedai buku beberapa buku kecil berkaitan isu-isu agama yang bertemakan beramal ‘menurut cara Nabi SAW’. Seperti yang dijangkakan, buku-buku ini turut mengandungi fikrah beracun iaitu membid`ahkan sesetengah amalan seperti zikir dan selawat yang sebenarnya menurut sebahagian besar ulama Islam tidak bercanggah malah selari dengan perlembagaan al-Quran dan al-Sunnah.

Gambar hiasan : Pembaca perlu bijak memilih bahan bacaan

Yang menariknya, bersebelahan dengan buku-buku ini, kami turut menemukan sebuah buku terjemahan karangan al-Marhum Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud, mantan Syeikhul Azhar berkenaan dengan galakan berzikir yang diterbitkan oleh penerbit yang sama. Dalam buku ini terdapat galakan untuk mengamalkan zikir dan selawat yang telah dibid`ahkan oleh buku-buku yang sebelumnya. Maka apakah nasib yang bakal menimpa orang-orang awam yang dengan jujur mahu menambah sedikit kefahaman agama mereka dengan membeli buku-buku ini? Jika mereka tersalah pilih, bukankah mereka terdedah kepada kekeliruan dan fahaman yang salah yang akan menjauhkan lagi mereka daripada ajaran Islam yang benar?

Artikel Penuh