Monday, February 14, 2011

Terlampau Memuji Rasulullah SAW?

Terlampau Memuji Rasulullah SAW?
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 15 February 2011

Sempena menyambut Mawlid al-Rasul SAW, kita tangguhkan sejenak siri perbahasan kita tentang tawassul dan memilih untuk memetik satu tajuk lain iaitu batas pujian terhadap Rasulullah SAW. Ini adalah kerana dalam keghairahan majoriti umat Islam memuji dan menjunjung Rasulullah SAW dalam menyambut Mawlid Baginda SAW, terdapat juga suara-suara yang menimbulkan salah-faham dengan mendakwa bahawa puji-pujian terhadap Rasulullah SAW adalah suatu yang melampau dan terpesong daripada ajaran Islam. Antara sandaran utama golongan ini ialah sabda Rasulullah S.A.W: “Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam.”

Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji Baginda S.A.W. Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik. Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bid’ah dalam perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW.

Artikel Penuh

Monday, February 7, 2011

Kekeliruan Yang Dipasarkan

Utusan Malaysia, 8 Februari 2011
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

Kita sentiasa menegaskan bahawa antara cabaran utama umat Islam di zaman ini adalah untuk memperbetulkan kefahaman agama mereka. Fikrah-fikrah yang mengelirukan boleh muncul di mana-mana sahaja. Para penerbit buku agama misalnya, ada yang bersifat terlalu komersial sehingga tidak berhati-hati memilih dan menapis bahan-bahan yang hendak dicetak dan disebarkan dalam pasaran. Baru semalam kami terjumpa di rak agama sebuah kedai buku beberapa buku kecil berkaitan isu-isu agama yang bertemakan beramal ‘menurut cara Nabi SAW’. Seperti yang dijangkakan, buku-buku ini turut mengandungi fikrah beracun iaitu membid`ahkan sesetengah amalan seperti zikir dan selawat yang sebenarnya menurut sebahagian besar ulama Islam tidak bercanggah malah selari dengan perlembagaan al-Quran dan al-Sunnah.

Gambar hiasan : Pembaca perlu bijak memilih bahan bacaan

Yang menariknya, bersebelahan dengan buku-buku ini, kami turut menemukan sebuah buku terjemahan karangan al-Marhum Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud, mantan Syeikhul Azhar berkenaan dengan galakan berzikir yang diterbitkan oleh penerbit yang sama. Dalam buku ini terdapat galakan untuk mengamalkan zikir dan selawat yang telah dibid`ahkan oleh buku-buku yang sebelumnya. Maka apakah nasib yang bakal menimpa orang-orang awam yang dengan jujur mahu menambah sedikit kefahaman agama mereka dengan membeli buku-buku ini? Jika mereka tersalah pilih, bukankah mereka terdedah kepada kekeliruan dan fahaman yang salah yang akan menjauhkan lagi mereka daripada ajaran Islam yang benar?

Artikel Penuh

Monday, January 24, 2011

BERTAWASSUL DENGAN ATHAR RASULULLAH SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
25 Januari 2011

Bulan Rabi’ul Awwal yang membawa makna dan rasa tersendiri bagi para pencinta Rasulullah SAW menjelang tiba. Ia datang dengan himbauan ingatan lahirnya insan agung yang membawa cahaya kebenaran dan siraman rahmat kepada seluruh alam. Seharusnyalah peristiwa agung itu terus-menerus dikenang, disebut, disanjung sebagai tanda syukur kita ke hadrat Allah SWT atas ni’mat yang maha besar itu serta sebagai penyubur ikatan kasih kita pada Sayyidina Rasulillah SAW.

Perlu difahami bahawa perbahasan kita berkaitan isu tawassul selama ini di ruangan ini juga tidak terpisah daripada semangat menzahirkan mahabbah dan berkhidmat kepada Rasulillah SAW seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ia tidak harus sekadar menjadi suatu polemik ilmiah yang terpisah daripada makna yang lebih tinggi tersebut. Semoga kita semua sentiasa digolongkan bersama mereka yang diizinkan untuk berkhidmat kepada Baginda SAW dan memasuki naungan kasih Baginda SAW.


Artikel Penuh

Tuesday, January 18, 2011

Tawassul Menurut Imam al-Syaukani

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 18 Januari 2011

Imam al-Syaukani adalah seorang lagi tokoh ulama yang sering menjadi rujukan sebahagian daripada mereka yang mendakwa mahu memperbaharui agama di zaman ini. Tawassul pula menjadi salah satu amalan yang dituduh sebagai terpesong dan menjadi penghalang kepada pembaharuan agama. Oleh itu wajarlah kita menyorot pandangan tokoh ini tentang tawassul.

Telah berkata al-Imam Syeikh Muhammad ibn Ali al-Syaukani di dalam risalahnya al-Dur al-Nadhid fi Ikhlas Kalimah al-Tauhid: “Adapun bertawassul kepada Allah dengan perantaraan salah seorang daripada makhlukNya bagi suatu permohonan yang dituntut oleh seseorang hamba daripada Tuhannya, Syeikh ‘Izzuddin Ibnu Abdul Salam telah menyatakan: “Sesungguhnya tidak harus bertawassul kepada Allah SWT melainkan dengan kemuliaan Nabi SAW, sekiranya hadith mengenainya adalah sohih.”


Tuesday, January 11, 2011

PENSYARIATAN TAWASSUL MENURUT IBNU TAIMIYYAH

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 11 Januari 2011

Syeikh Ibnu Taimiyyah adalah antara tokoh yang sering menjadi rujukan dan sandaran utama oleh kelompok yang memandang serong terhadap tawassul dan beberapa isu lain seperti bida`ah hasanah dan fiqh bermazhab. Mungkin atas sebab itu, Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad ` bin Sayyid Alawi al-Maliki turut merujuk khusus kepada pandangan beliau dalam kitabnya “Mafahim” (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan).

Berkata Syeikh Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya Qa’idah Jalilah fi al Tawassul wa al Wasilah (H: 5) ketika membicarakan tentang firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah wasilah (jalan/perantara) untuk mendekatkan diri kepadaNya.” (Al-Maaidah: 35),

Artikel Penuh

Tuesday, January 4, 2011

KOSMO : Simbolik menara As Sofa


ALUNAN irama merdu qasidah yang memuji Rasulullah S.A.W berselang-seli dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan kepada khalayak oleh sekumpulan anak muda.




Kelihatan seragam dengan jubah berona coklat muda dan ketayap putih di kepala, persembahan yang ditampilkan kumpulan qasidah itu mampu mengajak hadirin yang hadir menginsafi diri dan mengenang kisah pengorbanan seorang manusia agung yang tersebar ke seluruh pelosok alam.

Bukan sahaja terharu, bahkan ramai yang mengalirkan air mata apabila nama Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W disebut-sebut dalam bait-bait syair Arab yang dikumandangkan kumpulan berkenaan.

Situasi berkenaan merupakan salah satu aktiviti yang mengisi ruang sempena berlangsungnya majlis pecah tanah pembinaan Menara As Sofa di kawasan emas, Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Idea pembinaan menara tersebut dicetuskan oleh Penasihat Yayasan Sofa, Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki dalam usaha untuk mengukuhkan martabat Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini.


Artikel

Monday, December 27, 2010

Bertawassul Selepas Kewafatan Nabi SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 28 Disember 2010

Kita menyambung bicara kita tentang tawassul dalam latar kehangatan beberapa isu-isu agama yang timbul dalam masyarakat seperti penangkapan pengikut fahaman Syiah, ancaman faham Pluralisme Agama dan fatwa tentang peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Di samping sikap dan pendirian majoriti umat yang tercermin antara lainnya dalam suara majoriti mufti-mufti, kedengaran juga di sana-sana suara-suara sumbang dan syadz. Ada yang mempertikaikan penggunaan undang-undang terhadap aliran menyeleweng malah ada juga ilmuwan yang bukan ulama yang cuba menghujjah bahawa Syiah bukanlah aliran yang bermasalah.

Suka kita mengambil kesempatan di sini untuk berpesan kepada diri dan para pembaca sekalian untuk berwaspada terhadap pandangan-pandangan yang menyalahi majoriti umat ini. Khalayak awam yang punya tumpuan dan kehidupan mereka masing-masing tidaklah dibebankan untuk meneliti setiap hujah dan dalil yang cuba dikemukakan. Nanti terhenti dan terganggu pula kehidupan masyarakat. Inilah rahsianya prinsip-prinsip mengutamakan ijma` ataupun suara majoriti umat (sawad al-a`zam) dalam Islam. Umat Nabi Muhammad SAW tidak akan bersepakat atas suatu yang batil. Bagi orang awam, cukuplah sandarannya untuk menolak pandangan mereka ini dengan bersandar dengan sekian ramai para ulama dan ilmuwan Islam lain yang bersama suara majoriti. Menganggap bahawa semua mereka ini jahil, leka, tersalah ataupun sudah dibeli oleh kepentingan duniawi adalah suatu sikap prasangka yang melampau terhadap Islam dan Umat Islam.