Monday, January 25, 2010

Hikmah Dipelbagaikan Amal

Utusan Malaysia, 25 Januari 2010
OLEH PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Islam itu unik, indah dan sempurna. Maka sudah tentulah apa yang terkandung di dalamnya juga penuh dengan keunikan, keindahan dan kelebihan. Namun, tidak semua keindahan dan keunikan itu dapat dilihat dengan mata kasar.

Ada di antaranya yang perlu diselami dengan mata hati yang hanya dimiliki oleh insan-insan yang sentiasa menjaga hatinya dari titik-titik hitam, menggilap hatinya dengan zikrullah dan disinari hatinya dengan makrifatullah.

Solat adalah ibadat yang paling utama di dalam Islam. - Gambar hiasan

Minggu ini, kami mengajak pembaca menggali dan menghayati satu lagi khazanah dan hikmah di sebalik kejadian Allah yang telah dirakamkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam kalam hikmahnya:

"Tatkala Allah mengetahui timbul dari diri kamu perasaan jemu, Dia mempelbagaikan untuk kamu amalan ketaatan.

"Tatkala Dia mengetahui di dalam diri kamu wujud kerakusan, maka Dia mengehadkannya ke atas kamu pada waktu-waktu tertentu untuk menjadikan keinginan kamu itu mendirikan solat bukannya mengadakan solat. Tidak semua yang solat itu mendirikan solat".

Allah SWT dengan limpahan sifat kemurahan dan kasih sayang-Nya mengurniakan kepada hamba-hamba-Nya pelbagai amalan ketaatan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Artikel Penuh

Monday, January 18, 2010

Istiqamah dalam menghambakan diri diridambaan

Utusan Malaysia 18 Januari 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ADAKALANYA fikiran kita rasa berserabut, perasaan kita rasa tidak menentu. Apa yang kita buat rasa tidak kena. Solat dan ibadah tidak dapat dirasa kemanisannya. Seolah-olah ada sesuatu yang perlu kita dapatkan untuk menenangkan fikiran dan hati kita yang berkecamuk.

Lihat sahajalah apa yang berlaku di sekeliling kita, pembunuhan di sana-sini. Pelacuran yang berleluasa. Anak-anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa, remaja-remaja yang terjebak dan hanyut dalam gejala sosial, pembuangan bayi yang tidak berdosa menjadi-jadi.

MEMPERKASA segala aspek berkaitan penguasaan al-Quran tidak ada ruginya. - Gambar hiasan

Kehormatan umat Islam dipersendakan dan bermacam-macam lagi. Semuanya menyayat hati dan perasaan kita. Itu tidak termasuk tekanan kerja dan pengajian yang terpaksa kita harungi setiap hari.

Jalan meraih ketenangan

Sesungguhnya Islam itu agama yang sempurna. Ia kaya dengan pelbagai perbendaharaan dan khazanahnya yang indah dan seni. Oleh kerana itu, kita melihat agama Islam itu sentiasa dicemburui dan cuba dinodai kesucian dan ketinggiannya oleh musuh-musuh Islam.

Cuma, kita yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan segala keistimewaan Islam kerana kita sendiri tidak cukup mengenal agama yang kita warisi.

Menjadikan al-Quran sebagai wirid


Islam menyarankan beberapa perkara yang baik untuk kita lakukan ketika berhadapan dengan situasi sebegini. Antaranya, kita digalakkan membaca al-Quran dan menjadikannya sebagai wirid.

Hendaklah kita bertafakur tentang kandungan ayat-ayatnya dan mendalami mutiara-mutiara maknanya untuk mengeluarkan daripada perbendaharaan dan permatanya sesuatu yang akan melapangkan dada. Menambahkan lagi keyakinan dalam beragama dan menghadirkan kebesaran pemiliknya iaitu Allah SWT. Di samping itu, janganlah kita mengabaikan adab-adabnya.

Ulama berkata: "Sekiranya kamu melayarkan kapal di dalam lautan ini, kamu akan memperolehi kejayaan dan kerehatan (ketenangan) dalam pelayaran tersebut. Akan datang kepadamu angin kegembiraan dari wangiannya yang suci, dan bauannya yang semerbak bernilai dan mengadap kepadamu kelembutan inayah dengan kesempurnaan pilihan yang disertai dengan ri'ayah pembelaan Allah. Kamu akan ketahui perkara yang belum pernah kamu ketahui dan memahami perkara yang belum pernah kamu fahami.

"Maka terhasillah bagimu segala cita-cita dan tercapailah segala keinginan dan kegembiraan. Maka selepas itu berusahalah mengulang-ulang membacanya dan tenggelam di dalam lautan rahsianya. Berwaspadalah daripada meringan-ringankannya dan tergopoh-gapah ketika membacanya."

Artikel penuh

Monday, January 11, 2010

Penggunaan Kalimah Allah

Utusan Malaysia, 11 Januari 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SEMINGGU dua ini, negara amnya dan masyarakat Islam khasnya hangat membicarakan tentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam. Ruangan ini turut terpanggil untuk cuba menjernihkan fahaman dalam isu ini.

Terutama apabila ada juga tokoh dan individu Islam yang mengeluarkan pandangan mempertahankan keputusan mahkamah tinggi baru-baru ini yang membenarkan satu penerbitan Kristian Katholik untuk menggunakan kalimah Allah.

Apabila menimbangkan boleh atau tidak sesuatu itu dilakukan di sisi Islam, kaedah syarak menuntut kita mengenal-pasti hukum asal perkara tersebut serta turut memahami realiti sebenar atau situasi yang melatari sesuatu perbuatan atau isu.

Dalam ruang yang terbatas ini, kami akan membentangkan beberapa hujah di sebalik pandangan yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama selain Islam.

Di dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya. Adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding dengan-Nya? (Maryam: 65)

Ayat ini ditafsirkan oleh para ulama dengan beberapa tafsiran:

lDi dalam kitab Tafsir Hadaiq al Rauh wa al Raihan H: 187 ayat ini ditafsirkan dengan maksud: Adakah kamu mengetahui, wahai Muhammad! Bagi Tuhan Yang Maha Suci ada perkongsian pada namaNya (pada menamakan-Nya dengan lafaz al Jalalah atau dengan Tuhan tujuh petala langit dan bumi. Ayat istifham (soalan) ini didatangkan dengan tujuan ingkar, iaitu maknanya: Sesungguhnya Allah itu tidak ada baginya misal atau bandingan sehingga Dia boleh disekutukan dalam ibadah dan dari sini akan melazimkan nama ini tidak khusus bagi Allah. Apabila ternafinya sekutu bagi Allah, maka layaklah Allah itu di-Esakan dalam ibadah dan dikhususkan baginya.

Artikel penuh

Thursday, January 7, 2010

ARKIB : Fatwa Berkaitan Penggunaan Kalimah Allah

Keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Mengenai Isu Tuntutan Terhadap Penggunaan Kalimah Allah

Bil. Muzakarah : Kali Ke-82
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites, Alor Star, Kedah

ULASAN / HUJJAH :

1. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverend Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

2. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

3. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

4. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

5. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.

6. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

7. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.

8. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.

9. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.

10. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.

11. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

12. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.

KEPUTUSAN :

1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

2. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Monday, January 4, 2010

Benarkah musyrikin boleh bertauhid rububiyyah?

Utusan Malaysia, 4 Januari 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BERTEMU kembali di ruangan Relung Cahaya pada tahun baru 1431 Hijrah. Semoga penghijrahan kita kali ini lebih bermakna dan turut melonjakkan kita dalam perjalanan kita menuju kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kembali kepada tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan. Setelah kita meneliti beberapa dalil dan jawapan yang menunjukkan kepincangan dan kebatilan tauhid tiga serangkai, ada baiknya kita juga memerhatikan sebahagian dalil yang digunapakai oleh pengikut tauhid ini bagi menegakkan pendapat mereka yang kabur.

Kami telah menerima maklum balas daripada mereka yang berpegang dengan tauhid ini dan mereka telah menyatakan dalil-dalil mereka. Namun, di sini kami hanya akan mengutarakan sebahagiannya sahaja dan jawapan bagi hujah mereka tersebut. Manakala sebahagiannya lagi, kami akan susuli pada ruangan dan kesempatan yang lain, insya-Allah.

Sebelum memanjangkan kalam, kami ingin menyuarakan biarlah perbicaraan kita ini difokuskan kepada tajuk yang dibincangkan, bukannya mencemuh pihak yang tidak sependapat dengan kita. Andai kita merasa kita lebih bijak dan lebih mengetahui, sepatutnya kitalah juga yang lebih bijak dan mengetahui tentang adab-adab berbicara dan berdebat. Bukanlah tujuan kami mengetengahkan tajuk ini untuk menyentuh sensitiviti sesiapa, mencari ruang permusuhan atau mengkafir dan menyesatkan sesiapa. Tetapi tujuan kami hanya untuk melihat kebenaran itu tertegak dan kebatilan itu terpadam.

Berbalik kepada tajuk yang kita bicarakan, kami ingin menegaskan bahawa antara perkara utama yang menyebabkan kami menolak pembahagian tauhid ini ialah pembahagian tauhid ini telah mengkategorikan orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid dengan tauhid rububiyyah, bukannya sifat rububiyyah atau uluhiyyah bagi Allah.

Mereka yang berpegang dengan tauhid ini berpegang dengan firman Allah SWT dalam surah al Zumar ayat 38: Dan demi sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab, "Allah."

Mereka juga berpegang dengan firman Allah SWT: Tanyakanlah lagi, "Siapakah tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?" Mereka akan menjawab, "(Semuanya) kepunyaan Allah." Katakanlah, "Mengapakah kamu tidak mahu bertaqwa? (al-Mukminun: 86 dan 87)

Artikel Penuh