Sunday, May 29, 2011

Meminta Sesuatu Yang Mustahil

Di antara dakwaan batil yang dipegang oleh orang-orang yang suka mengkafirkan orang yang bertawassul atau meminta dengan Nabi SAW ialah: “Ramai manusia sering meminta kepada para nabi dan orang-orang soleh yang telah meninggal dunia, sesuatu yang di luar kekuasan mereka dan hanya mampu dilaksanakan oleh Allah. Meminta seperti yang demikian itu adalah perbuatan syirik.”

Artikel Penuh

Tuesday, May 24, 2011

Syafaat Nabi Sesudah Wafat

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 24 Mei 2011

Timbul pula dakwaan sesetengah orang bahawa meminta syafa’at atau istighathah (memohon pertolongan) daripada Nabi SAW hanya dibolehkan ketika Baginda hidup maka kita menjawab ; Sesungguhnya beristighathah dan bertawassul; jika keharusannya dikaitkan dengan hidupnya pihak yang diminta pertolongan, maka ketahuilah, bahawa para nabi dan hamba-hamba Allah yang diredhai itu tetap hidup di alam kubur mereka.

Sekiranya tiada dalil lain untuk membenarkan keharusan bertawassul dan beristighathah dengan Rasulullah SAW setelah wafat, kecuali dengan menggunakan qias atau analogi terhadap tawassul dan istighathah dengan Baginda SAW ketika masih hidup, maka itupun sudah cukup, kerana kita meyakini bahawa Rasulullah SAW tetap hidup di alam barzakh. Baginda SAW selalu memerhatikan umatnya. Dengan izin Allah SWT, Baginda SAW menguruskan keadaan mereka dan mengetahui apa yang mereka lakukan. Salawat yang mereka ucapkan diperlihatkan kepada Baginda SAW. Salam yang mereka berikan juga sampai kepada Baginda SAW, meskipun mereka sangat ramai.

Artikel Penuh

Tuesday, May 17, 2011

Syafa`at Di Sisi Para Sahabat

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 17 Mei 2011

Daripada Mukhallad ibn ‘Uqbah ibn Abdur Rahman ibn Syarhabil, daripada datuknya, Abdur Rahman, daripada ayahnya, berkata: “Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika telapak tanganku terkena bisul. Aku berkata, “Wahai Nabi Allah! Bisul ini semakin membengkak dan menggangguku semasa aku hendak memegang pedang dan mengendalikan haiwan tunggangan.” Rasulullah SAW bersabda, “Dekatlah kepadaku!” Aku pun menghampiri Baginda SAW, kemudian Baginda SAW bersabda, “Bukalah telapak tanganmu itu.” Maka aku pun membukanya, kemudian Baginda SAW bersabda, “Genggamlah telapak tanganmu.” Maka akupun menggenggamnya. Rasulullah SAW bersabda, “Dekatlah kepadaku!” Aku pun menghampiri Baginda SAW. Maka Rasulullah SAW membukakan telapak tanganku, lalu meniupnya. Kemudian Baginda S meletakkan telapak tangannya pada bisul itu. Baginda SAW mengusap-usapnya dengan telapak tangannya sehinggalah Baginda SAW mengangkat tangannya, dan aku langsung tidak lagi melihat kesan bisul itu di tanganku.” (diriwayatkan oleh Imam Tabrani. Al Hafiz al Haithami menyebutnya di dalam Majma’ al Zawa’id (Jld 8 H: 298).

Artikel Penuh

Tuesday, May 10, 2011

Memohon Bantuan Nabi SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 10 Mei 2011

Kita telah sebutkan di dalam perbahasan yang lalu, sesungguhnya kita mempercayai dengan keyakinan yang kuat, tanpa syak dan ragu bahawa asal atau dasar dalam memohon suatu pertolongan, permohonan, doa dan permintaan ialah ditujukan hanya kepada Allah SWT. Dialah Maha Penolong, Maha Pembantu dan Mengkabulkan sesuatu permintaan.

Allah SWT berfirman: “Dan Tuhan kamu berfirman, “Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”(Al-Mukmin: 60) Dari ayat ini dapat difahami, bahawa sesiapa yang meminta pertolongan daripada seseorang makhluk, atau menyerunya, atau memohon kepadanya, atau meminta kepadanya, sama ada makhluk itu masih hidup atau telah mati, dengan keyakinan bahawa makhluk itu mampu memberikan manfa’at atau menolak kemudharatan dengan kekuatannya sendiri, tanpa ada kaitan dengan Allah; maka dia dikira telah menyengutukan Allah SWT.

Tuesday, May 3, 2011

Kekosongan Jawatan Tenaga Pengajar di STIAS

Allah SWT Penolong Hakiki

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN                                          
Utusan Malaysia, 3 Mei 2011

Apabila kita katakana adalah dibenarkan memohon syafa`at daripada Nabi SAW, ini tidak menafikan kepercayaan kita dengan keyakinan yang kuat dan lazim, tanpa syak dan ragu bahawa asal sesuatu pertolongan, permohonan, doa dan permintaan itu hanyalah kepada Allah SWT. Pada hakikatnya, Dialah Maha Penolong, Maha Pembantu dan Mengkabulkan sesuatu permintaan.

Prinsip ini ditegaskan dalam firman Allah SWT, “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah; yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia.”(Yunus: 106-107)