Friday, December 24, 2010

5 sahabat STIAS rangkul 9A

5 sahabat STIAS rangkul 9A
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my


REMBAU 23 Dis. - Berkat membaca dan memahami isi kandungan al-Quran serta mendekati persekitaran ilmu membuatkan lima sahabat baik termasuk sepasang adik- beradik memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.





Dari kiri, Muhammad Mu'az Malizan, Zaidatul Hanim Zainal Abidin, Syarifah Amnah Abdul Rahman Alhadad, Syed Ali Abdul Rahman Alhadad dan Muhammad Syahir Samsudin gembira bersama keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah masing-masing di Rembau, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

Mereka ialah Muhammad Mu'az Malizan, 15; Muhammad Syahir Samsudin, 15; Zaidatul Hanim Zainal Abidin, 15, dan pasangan adik- beradik, Syed Ali Abdul Rahman Alhadad, 16 dan Syarifah Amnah Abdul Rahman Alhadad, 15.

Kesemua mereka merupakan pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di sini memberitahu, belajar secara berkumpulan merupakan resipi kejayaan, selain berkat doa dan mendekati bacaan al-Quran. Menurut Muhammad Mu'az, dorongan ibu bapa dan guru di STIAS menjadikan dirinya lebih insaf untuk mengulangkaji pelajaran, selain mendapati kemuliaan al-Quran itu membuatkan hatinya lebih mudah menerima ilmu dan pelajaran.

''Saya menghafal ayat suci al-Quran dan hadis. Ia mendorong saya untuk memudahkan penerimaan ilmu dalam subjek peperiksaan lainnya," kata anak kedua dari empat adik-beradik ini.

Sementara itu, Syed Ali memberitahu, untuk berjaya dia sentiasa menggunakan falsafah iaitu jangan hanya mengejar kejayaan, sebaliknya hendaklah mengejar kecemerlangan. ''Ini kerana jika kita mengejar kecemerlangan, maka kejayaan akan mengejar dari belakang," ujarnya.
Adiknya, Syarifah Amnah berkata, perbanyakkan selawat dan mahabbah kepada Rasullullah SAW juga merupakan rahsia kejayaan memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam PMR.

''Kita harus yakin dengan apa yang kita lakukan dan hendaklah sentiasa bersabar dalam menghadapi apa juga kesukaran dan kepayahan,'' katanya.

Dalam pada itu, Zaidatul Hanim dan Muhammad Syahir berkata, bimbingan guru, ustaz dan ustazah di STIAS ini benar-benar memberikan 'sentuhan' luar biasa dalam kecemerlangan pendidikan.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Halim Abdul Razak berkata, pencapaian calon PMR sekolah kerajaan pada tahun ini di negeri ini dalam 15 mata pelajaran adalah yang terbaik berbanding tiga tahun lalu.

Keputusan itu diukur daripada pencapaian cemerlang iaitu semua A, pencapaian yang baik iaitu minima D dan Gred Purata Negeri (GPN) yang diperoleh pada angka 2.71.

''Pencapaian cemerlang iaitu semua A dalam PMR tahun ini telah meningkat sebanyak 64 orang iaitu 1,418 orang pada tahun lalu kepada 1,482 orang pada tahun ini,'' katanya.

No comments: