Monday, December 13, 2010

Bertawassul Dengan Nabi SAW Sebelum Hayatnya

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 13 December 2010

Menyambung perbicaraan dari minggu lepas, di dalam hadith tawassul dengan Rasulullah SAW sebelum kewujudan Baginda SAW, menunjukkan bahawa paksi kesohihan bertawassul ialah hendaklah orang yang ditawassulkan itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dan tidak disyaratkan hidup di dunia.

Dari sini dapat diketahui, bahawa pendapat yang menyatakan bahawa bertawassul dengan seseorang itu tidak sah melainkan sewaktu hidupnya di dunia merupakan pendapat orang yang hanya mengikut hawa nafsu dan bukannya berdasarkan petunjuk daripada Allah.

Kesimpulannya, hadith ini telah disohihkan dengan hadith-hadith yang mendukungnya, dan ia telah dinaqalkan oleh sekumpulan ulama’ besar, imam-imam ahli hadith dan para hafiznya; yang kesemuanya mempunyai kedudukan yang sememangnya telah ma’ruf dan pangkat yang tinggi. Mereka juga adalah orang yang bersifat amanah terhadap Sunnah Nabawiyyah. Di antara mereka ialah al Hakim, al Suyuti, al Subki dan al Balqini.

Selain mereka, al Baihaqi juga menaqalkan hadith ini di dalam kitabnya, Dalail al Nubuwwah; yang beliau syaratkan tidak meriwayatkan hadith-hadith yang maudhu’ di dalamnya, dan seperti yang dikatakan oleh al Zahabi: “Hendaklah kamu berpegang dengannya kerana kesemua hadith yang terkandung di dalam kitabnya merupakan petunjuk dan juga cahaya.” (Syarah al Mawahib Jld 1, H: 62.)

Ibnu Kathir pula telah menyebutnya di dalam al Bidayah. Manakala Ibnu Taimiyyah telah mendatangkan pendukung-pendukung hadith ini di dalam kitabnya, al Fatawa. Adapun ulama’ yang berselisih pendapat mengenai hadith ini; sebahagiannya menolak dan sebahagiannya lagi menerimanya, bukanlah perkara yang ganjil kerana kebanyakan hadith Nabi SAW tidak dapat lari daripada berlakunya khilaf ulama’, malah terdapat lebih banyak daripada ini dan ia dikritik oleh pengkritik hadith dengan kritikan yang lebih hebat daripada hadith ini.

Disebabkan perkara tersebut, lahirlah kitab-kitab karangan yang besar ini. Di dalamnya terdapat istidlalat (tunjuk dalil), ta’aqqubat (menerangkan yang salah dan yang betul), muraja’at (munaqasyah) dan muakhazat (penerangan mengenai perselisihan dalam menentukan darjat hadith). Namun, perselisihan pendapat dari sudut darjat sesuatu hadith tidaklah sampai melemparkan tuduhan syirik, kufur, sesat atau terkeluar daripada iman. Hadith ini termasuk dalam kelompok hadith-hadith tersebut.

Artikel Penuh

No comments: